Monday, 11 April 2011

Bond Hj Jasman

KUALA LUMPUR: Satu sindiket pelaburan palsu bukan saja dikesan ‘menjual agama’ sebagai aset untuk memperdaya mangsa, sebaliknya mendakwa ‘projek pelaburan’ yang dijalankan mereka ‘rahsia kerajaan’ selain hanya dibenarkan kepada golongan Muslim.

Sindiket penipuan pelaburan dikenali sebagai ‘Dana Haji Jasman’ dilaporkan mula bergiat aktif sejak 2007, selain mengaut keuntungan dipercayai mencecah jutaan ringgit sepanjang tempoh berkenaan selepas memperdaya ratusan mangsa terutama penduduk Johor dan kini mula menular ke Kuala Lumpur serta beberapa negeri lain di Semenanjung. Difahamkan, skim pelaburan ala perniagaan jualan langsung berbilang tingkat (MLM) itu tidak menetapkan nilai minimum atau maksimum sebaliknya menjanjikan setiap pelaburan bermula RM1 akan diberikan pulangan RM1,000 dalam tempoh tertentu.

Biarpun konsep pelaburan ini seakan-akan sama seperti MLM, sindiket terbabit ‘menjual agama’ kerana setiap pelabur dipaksa menandatangani surat akuan bersumpah selain ‘berbaiah’ dan berjanji tidak menggunakan wang itu kepada jalan yang salah termasuk membeli rokok.

Malah, ahli kumpulan sindiket terbabit menggelar diri mereka sebagai ‘kadi’ dan ‘pegawai agama’ selain melakukan penerangan di lokasi tumpuan golongan Muslim terutama di masjid dan surau. Jurucakap Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima laporan terperinci mengenai ahli kumpulan sindiket yang terbabit dalam skim pelaburan itu.

“Malah, SSM mengumpul maklumat orang ramai selepas beberapa aduan diterima daripada mangsa terutama penduduk di Johor. “Pendedahan ini dilakukan biarpun SSM belum menerima laporan terperinci jumlah sebenar pelaburan dan kerugian mangsa kerana SSM tidak mahu lebih ramai mangsa terpedaya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menceritakan taktik kumpulan terbabit, jurucakap SSM berkata, mereka pergi ke kawasan tumpuan Muslim seperti masjid dan surau sebelum memperkenalkan diri sebagai ‘kadi’ atau ‘pegawai agama’. “Malah, ada kalanya kumpulan terbabit melakukan ‘ceramah’ di hotel selepas melakukan hebahan di surau atau masjid mengenai pelaburan berkonsepkan Islam,” katanya.


Menurutnya, dalam ‘ceramah’ berkenaan kumpulan terbabit mendakwa dana itu milik kerajaan dan dikhaskan kepada Muslim serta perlu dirahsiakan daripada penganut agama lain.
“Setiap pelaburan RM1 dijanjikan pulangan RM1,000 dalam tempoh tertentu selain tidak dibenarkan untuk berbelanja di jalan yang salah termasuk membeli rokok. “Kebijaksanaan kumpulan ini memanipulasi agama untuk meyakinkan mangsa terutama golongan Muslim daripada setiap peringkat menyebabkan ramai individu menyertai pelaburan berkenaan. Malah, mangsa bukan saja penduduk kampung berusia 50-an yang dipanggil ‘pak cik’ sebaliknya terdapat juga kakitangan kerajaan dan golongan profesional yang menjadi mangsa.

“Malah, maklumat yang kami peroleh mengatakan ada seorang individu melabur wang simpanan miliknya RM100,000 sebelum kumpulan terbabit menghilangkan diri,” katanya. Katanya, dia menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati sebelum melakukan pelaburan dalam mana-mana skim kerana kebanyakannya menipu.

“Orang ramai boleh membuat rujukan dengan pihak SSM atau Bank Negara terlebih dulu sebelum melakukan sebarang pelaburan bagi memastikan mereka melabur dengan individu yang benar. Untuk menjadi orang kaya, sepatutnya masyarakat lebih bijak kerana untuk sampai ke tahap itu bukan suatu perkara mudah,” katanya. Sehubungan itu, mangsa atau orang ramai yang mempunyai maklumat skim terbabit diminta menghubungi SSM di talian 03-62048999 atau emel kepada aduan@seccom.com.my.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan ketika dihubungi, mengesahkan menerima beberapa laporan berhubung skim pelaburan terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata perbuatan mereka itu satu pembohongan dan dosa besar.
“Orang ramai dinasihatkan jangan terpedaya dengan golongan terbabit yang mengaku tokoh agama selagi latar belakang mereka tidak diselidiki sebelum menyerahkan wang kepada individu terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tambahnya, pelaburan yang dijalankan kumpulan terbabit haram kerana menipu orang ramai selain mengingatkan masyarakat melakukan rujukan kepada pihak lebih arif sebelum menyertai sesuatu pelaburan.

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim, Muhaamad Hafis Nawawi dan Siti Na’imah Mohamed
am@hmetro.com.my

Sumber HMetro

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...